PENAMPANG - Tiada sebarang kuota bagi lantikan jawatan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah dan pemilihannya dilaksanakan secara demokrasi.
Pengerusi DAP Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe berkata, mesyuarat agung tahunan (AGM) diadakan untuk mengadakan persidangan bagi memilih pucuk pimpinan.
"Tidak ada (kuota), apa itu kuota? Saya tidak tahu. Kalau ada kuota kenapa kita ada AGM? AGM itu maksudnya kita perlu ada satu persidangan bagi kita memilih satu pucuk pimpinan.
"Saya fikir ia sama dalam setiap parti, termasuk badan bukan kerajaan (NGO). Jadi ini selaras dengan kita punya undang-undang Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Rumah Krismas Terbuka anjuran Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) di sini pada Rabu.
**media[2941097]**
Sebelum itu, Jin Zhe diminta mengulas mengenai isu kemungkinan berlaku perubahan dalam kepimpinan PH Sabah yang kini disandang Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sebarang isu sepatutnya boleh dibincangkan melalui mesyuarat PH Sabah tetapi beberapa kali telah ditunda.
"Jadi belum lagi sempat ada mesyuarat jadi saya rasa lebih baik kita bawa sebarang isu ke mesyuarat, kita bincang baik-baik tidak perlu bawa ke dalam surat khabar, media. Seolah-olah kita dilihat berpecah-belah.
"Jadi ini tidak baik, kita sepatutnya bersatu padu, perkukuhkan PH. Kita mesti kuat lalu kita bincang bagaimana kita berkhidmat kepada rakyat dan berjuang kepada rakyat Sabah," katanya.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan jawatan bagi Pengerusi PH Sabah mungkin sekali lagi menyaksikan perubahan dalam masa terdekat.